Sabtu, 23 Julai 2016

QASIDAH SANG RASUL...

Pada posting kali ini, saya akan membagikan Lirik/Syair Qasidah berjudul Kisah Sang Rasul "Rohatil Athyaru Tasydu". Qasidah ini menceritakan perjuangan serta kisah hidup seorang Rasul Nabi Muhammad SAW yang penuh suka duka. Setelah mendengar beberapa kali, akan membuat hati semakin cinta kepada Sang Rasul.

Lirik Qasidah Kisah Sang Rasul "Rohatil Athyaru Tasydu" - Habib Syech Abdul Qadir Assegaf
Kisah Sang Rasul "Rohatil Athyaru Tasydu"

Berikut liriknya:

رَاحَتِ الاَطيَارُ تَشدُو فِى لِيَالىِ المَولِدِ
Rohatil Athyaru Tasydu, Fi layaalil maulidi
"Burung-burung berkicauan teramat bahagia di malam kelahiran Nabi SAW"

    وَبَرِيقُ النُّورِيَبدُو مِن مَعَانِى اَحمَدِ
 فِى لَيَالِى المَولِدِ
Wa bariqunnuri yabdu, min ma'ani ahmadi
Fi layaalil maulidi
"Dan kilatan cahaya terpancarkan penuh makna-makna dari Ahmad, di malam kelahiran Nabi SAW"

Abdullah nama Ayahnya, Aminah Ibundanya
Abdul Muthalib Kakeknya, Abu Thalib Pamannya
Khadijah Istri setia, Fatimah Putri tercinta
Semua bernasab mulia, dari Quraisy ternama
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Oh penuh suka duka, oh penuh suka duka

Dua bulan di kandungan, wafat Ayahandanya
Tahun gajah dilahirkan, yatim dengan Kakeknya
Sesuai adat yang ada, disusui Halimah
Enam tahun usianya, wafat Ibu tercinta
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Oh penuh suka duka, oh penuh suka duka

Delapan tahun usia, Kakek meninggalkannya
Abu Thalib pun menjaga, Paman paling membela
Saat kecil mengembala, dagang saat remaja
Umur dua puluh lima, memperistri Khadijah
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Oh penuh suka duka, oh penuh suka duka

Di umur ke tiga puluh, mempersatukan bangsa
Saat peletakkan batu, Hajar Aswad mulia
Genap empat puluh tahun, mendapatkan risalah
Ia pun menjadi Rasul, Akhir para Anbiya
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Inilah kisah Sang Rasul, yang penuh suka duka
Oh penuh suka duka, oh penuh suka duka

Rabu, 20 Julai 2016

MEMANAH DAN BALASAN SYURGA...

Archer Warrior
Pada satu waktu genting di dalam perang Uhud, tiada siapa pun bersama-sama Rasulullah SAW untuk berperang di sisinya, selain dari Talhah bin Ubaidillah dan Sa’ad bin Abi Waqqas Radhiallahu’anhum, itulah saat yang cemas di dalam hidup Baginda yang telah berdarah kecederaan dan patah giginya. Sedangkan inilah saat dan peluang keemasan bagi pihak musyrikin.

10 SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA

Sa’ad bin Abi Waqqas dan Talhah bin Ubaidillah Radhiallahu’anhum telah bertindak penuh kepahlawanan dan bertempur dengan tiada bandingannya, hingga tidak memberi kesempatan langsung kepada kehendak kaum musyrikin hendak membunuh baginda Nabi SAW, kerana mereka berdua adalah antara pemanah yang terhandal di kalangan bangsa Arab Quraisy. Kedua-duanya pula yang disebut antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga Allah SWT.
Semasa Sa’ad bin Abi Waqqas meluncurkan panah-panahnya, Rasulullah SAW bertindak menghulurkan anak-anak panahnya kepada Sa’ad sambil bersabda: “Panahlah mereka hai Sa’ad, bapaku dan ibuku jadi jaminanmu”. Antara kelebihan Sa’ad Abi Waqas doanya makbul dan apabila memanah tepat mengenai sasaran. Ini kerana Nabi Muhamad SAW pernah mendoakannya: “Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.” 
Sa’ad Abi Waqas juga mendapat gelaran ‘Singa yang Menyembunyikan Kukunya’.
Ibnu Asakir mengeluarkan dari Ibnu Syihab, dia berkata: “Pada hari pertempuran di Uhud Sa’ad bin Abu Waqqas telah membunuh tiga orang musyrikin dengan sebatang anak panah. Dipanahnya seorang, lalu diambilnya lagi panah itu, kemudian dipanahnya orang yang kedua dan seterusnya orang yang ketiga dengan panah yang sama. Ramai para sahabat merasa heran tentang keberanian Sa’ad itu. Maka Sa’ad berkata: “Rasulullah SAW yang telah memberikanku keberanian itu, sehingga aku menjadi begitu berani sekali.”
Di dalam hadith yang lain, ada diceritakan tentang keperwiraan Abu Talhah semasa peristiwa di perang tersebut yang bermati-matian mempertahankan keselamatan Rasulullah SAW dengan busurnya.
Dari Anas bin Malik RA, katanya : Ketika berlakunya peperangan Uhud dan tentera Islam berada dalam keadaan kucar kacir,  tidak ramai sahabat yang bersama Rasullullah SAW. Abu Talhah RA berada di samping Nabi SAW sambil baginda berlindung dengan perisainya. Abu Talhah RA pakar memanah sehingga pada waktu itu patah dua hingga tiga batang anak panah (kerana kuatnya panahan beliau).
Seorang lelaki berjalan bersamanya sebuah busur dengan anak panahnya dan baginda berkata: Serahkannya kepada Abi Talhah.” Nabi Allah SAW naik ke tempat tinggi dan  melihat kaum musyrikin lantas Abu Talhah RA berkata: “Wahai Nabi Allah, Aku menebusmu dengan bapa dan ibuku! Jangan engkau naik ke tempat tinggi. Tidak ada satu anak panah musuhpun yang yang akan menembusimu. Leherku akan mempertahankan lehermu.”
– Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
Dari ‘Amr bin ‘Abasah RA katanya: “saya mendengar Rasulullah bersabda:” 
“Barangsiapa melempar dengan sebatang anak panah dalam peperangan fisabilillah , maka baginya adalah pahala yang sama dengan memerdekakan seorang hamba sahaya”.
– Hadith riwayat Abu Daud dan Turmuzi
Rasulullah SAW turut menggunakan panah di hari Uhud itu, sebagaimana yang diceritakan oleh Qutadah bin al-Nukman, Rasulullah memanah dengan busurnya hingga terpatah hujungnya.

SATU ANAK PANAH YANG MEMBAWA 3 ANAK ADAM KE SYURGA

Telah dikhabarkan oleh Abdullah bin Muhammad Abu Qasim Al-Thaghari, katanya telah menceritakan kepada kami oleh Daud, katanya telah menceritakan kepada kami Mubarak iaitu Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya telah menceritakan kepada Abu Muslim dari Khalid bin Yazid, katanya: “Aku adalah seorang pemanah.” Maka Uqbah bin Amir lalu dekatku sambil berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”
“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala memasukkan tiga orang ke Syurga disebabkan oleh satu anak panah, iaitu pemilik anak panah itu yang mengharapkan kebaikan daripadanya, pemanah (yang melepaskan anak panah) dan pembuat anak panah itu. Memanahlah kamu dan tungganglah kuda, sesungguhnya jika kamu memanah, lebih-lebih aku sukai dari kamu menunggang kuda, tidak sia-sia seseorang yang melatih kuda untuk permainan keluarganya dan melatih memanah dengan busur dan anak panahnya. Sesiapa yang meninggalkan memanah atas kehendaknya sendiri setelah mempelajarinya, sesungguhnya ia telah meninggalkan (semua kebaikan) ini atau telah mengingkari perintah Pesuruh Allah.”
Dan dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas RA dari Nabi SAW katanya:
“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku!”
…bersambung di artikel seterusnya.
pemanah-berkuda

MEMANAH DAN PERANG...

Pemanah SyurgaRasulullah SAW bersabda di atas mimbar:
“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.”
– Sahih Muslim Hadith no. 1917
Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:
“Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” 
– Hadith riwayat Muslim
Bersabda Rasulullah SAW lagi:
“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” 
– Hadith riwayat Bazzar dan Thabarani
Dari Ibnu ‘Umar, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Ajari anak-anak lelakimu renang dan memanah, dan ajari menggunakan alat pemintal untuk wanita”
– Hadith riwayat Al-Baihaqi

HIKMAH PADA MEMANAH DAN BERKUDA

Hikmah suruhan Rasulullah SAW untuk memanah (dan berkuda) ada dua sisi besar, iaitu sebagai;
i. Ketumbukan Persenjataan Perang.
ii. Kesiap-siagaan untuk Berperang.

KETUMBUKAN PERSENJATAAN PERANG

Relatif pada zaman baginda Rasulullah SAW, busur dan panah membentuk ketumbukan persenjataan perang yang terkuat, yang bertindak sebagai elemen ofensif utama dan juga sebagai elemen pertunjukan bala kekuatan tempur untuk mengerunkan musuh.
Pada sisi yang pertama, kita sudah berada 1430 tahun selepas  zaman Rasulullah SAW, dari sudut ini, busur dan panah tidak mampu untuk menewaskan senjata api, kereta kebal dan lain-lain persenjataan perang moden. Ada ulama yang melihat kata panah (ar-ramy/ar-ramyu dalam bahasa Arab) dari sudut bahasa, iaitu lempar; maka diertikan melempar itu termasuk jualah apa-apa senjata lemparan (projektil) moden seperti pistol, senapang, meriam, jet tempur, drone, torpedo, misil, roket dan sebagainya. Maka difatwakan adalah wajib untuk penguasa kerajaan Islam mendapatkan jalan kepada senjata-senjata sedemikian sebagai elemen pertahanan negara. Walaupun hal ini adalah benar, namun ini bukanlah hujah untuk kita berbuat tergopoh-gapah melecehkan atau langsung meninggalkan sunnah Rasulullah SAW yang ada pada busur dan panah.
bow and rifle
Kemahiran memanah dan menembak senjata api mempunyai asas sama

KESIAP-SIAGAAN UNTUK BERPERANG

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada mukmin yang lemah.”
– Hadith riwayat Muslim
Dari Amirul Mukminin, Umar al-Faruq ibn al-Khattab, Rasulullah SAW bersabda:
“Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah.”
– Sahih Bukhari dan Muslim
Umumnya ramai yang menta’wil hadith ini untuk menyesuaikannya dengan konteks masa. Dengan membuat analogi secara ringkas; di mana berkuda dinisbahkan kepada memandu kereta/motor, memanah kepada menembak dengan senjata api, sedangkan berenang itu sudah tidak tahu hendak dinisbahkan kepada apa pula. Walhal, ini hanya sebahagian dari konteks hadith. Walaupun memanah itu juga adalah satu bentuk kemahiran asas yang diperlukan untuk berburu, maksud yang lebih besar pada hadith ini adalah supaya mempersiapkan generasi baru dengan keupayaan untuk berperang, dengan mempelajari kemahiran bersenjata dan membina kekuatan dan ketahanan tubuh badan supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menyahut seruan jihad fi sabilillah.
Elemen-elemen di dalam berkuda, memanah dan berenang membentuk regim latihan komprehensif untuk kemahiran berperang dengan meningkatkan kesihatan, kekuatan, kepantasan, stamina, keseimbangan dan ketahanan tubuh badan, menajamkan tumpuan pancaindera untuk melahirkan kordinasi pergerakan dengan pantas, tepat dan jitu secara bersahaja. Malah latihan sedemikian juga bertujuan memupuk sifat sabar, tenang dan meningkatkan keupayaan untuk memberi tumpuan dalam situasi-situasi yang mencabar.
Hadith-hadith berkenaan memanah sebenarnya bermaksud untuk melahirkan pejuang-pejuang Islam yang berkualiti yang sentiasa berada pada keadaan bersiap-sedia dengan kekuatan dalaman dan luaran. Pejuang-pejuang ini sentiasa berada pada jalan amar ma’aruf nahi munkar walaupun pada masa-masa aman.
Dalil Al-Quran
“Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka mereka akan terlepas (dari penguasaan dan balasan Allah); sesungguhnya mereka tidak akan dapat melemahkan (ketentuan Kami) (59). 
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang dipersiap untuk berperang, untuk menggentarkan (dengan persediaan itu) musuh Allah dan musuh kamu serta yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya dengan cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya (60).”
– Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang)

MEMANAH SEUMPAMA BERJIHAD?

Pada suruhan memanah dan berkuda itu sebenarnya bertepatan dengan maksud supaya mempersiapkan diri untuk jihad qital fi sabilillah; baik dengan kemahiran dan juga persenjataan. Dalam konteks hari ini, ia amat relevan untuk proses mendapatkan kemahiran berperang walaupun bukan semestinya akan berjuang dengan senjata busur dan panah itu sendiri. Mereka yang tiada persiapan untuk berjuang adalah manusia lemah yang akan menadah batang leher dengan percuma apabila datang keadaan yang huru-hara dengan secara tiba-tiba.
Seperti halnya seorang penuntut ilmu itu tetap berada pada jalan Allah, tidak penting samada dia belajar kitab kecil atau kitab besar, baru bermula, di tengah-tengah atau hampir khatam. Yang utama adalah untuk berada di dalam perjalanan menuntut ilmu, khatam pengajian itu sudah hal nombor dua. Asalkan seseorang itu istiqomah dan berniat belajar sehingga selesai maka dia sudah mendapat jaminan di atas usahanya untuk berada pada jalan Allah. Apabila dicabut nyawanya ketika itu maka insyaAllah dia mati berada di jalan Allah.
Seseorang itu berusaha dengan menuntut ilmu sedangkan kesempatan beramal dengan ilmu tersebut adalah anugerah dari Allah.
Maka demikianlah juga dalam membuat persiapan untuk berjihad. Padahal jihad itu adalah bersusah-payah pada urusan agama. Dengan i’tikad yang benar, bersungguh-sungguh dan istiqamah, sesiapa yang beramal dengan ayat-ayat Allah dan sunnah Rasulullah SAW dalam memanah, maka dia telah berusaha pada jalan jihad (dan terpulanglah kepada kehendak Allah untuk meletakkan dia bertemu musuh dan syahid di medan perang).
…bersambung di artikel seterusnya.
pemanah-berkuda

Selasa, 19 Julai 2016

MEMANAH SECARA SUNNAH. part II

KOMPONEN ZAHIR – KEKUATAN DARI MEMANAH

Yang dimaksudkan kekuatan dari memanah secara zahir adalah sebahagiannya; kekuatan pada panahan dan kekuatan pada tubuh badan pemanah.

KEKUATAN PADA PANAHAN

Kualiti pada panahan naluri dan pandangandapat dinilai dari tiga pencapaian; iaitu
  1. Ketepatan
  2. Konsistensi
  3. Kejituan
Ketiga-tiga perkara ini pula hanya dapat dicapai dengan;
  1. Pengetahuan dan aplikasi teknik memanah yang betul
  2. Pengetahuan teknikal di dalam sains memanah
  3. Kekuatan fizikal serta penggunaan otot secara efisyen
Hanya dengan menguasai kombinasi 3 perkara ini potensi kekuatan sebenar pada panahan dapat dicapai dan dirungkai.
Teknik memanah tradisional adalah sebaik-baik teknik untuk memanah. Memanah secara tradisional melatih kombinasi penggunaan otak kiri dan otak kanan secara serentak dan menjajar deria keenam, iaitu naluri kepada memanah. Berbanding teknik memanah secara pandangan (yang sangat bergantung kepada satu deria utama), deria naluri menyatukan penggunaan kelima-lima deria yang lain untuk menghasilkan tindak-balas yang lebih cepat, spontan dan lebih berkeupayaan untuk memproses pelbagai input dan faktor pemboleh-ubah secara serentak semasa proses menembak anak panah ke sasaran.
Semasa memanah, kedua-dua tangan ‘merasa’ arah tujahan anak panah, otot menjangka kekuatan tarikan (daya tujahan), kulit merasa arah angin untuk membuat pembetulan, mata memandang tajam ke sasaran dan otak memberi sepenuh tumpuan dan melupakan yang lain-lain.
Dari segi teknik, memanah secara tradisional adalah paling menghampiri memanah secara sunnah. Iaitu anak panah perlu bersentuh dengan tangan yang memegang busur dan tangan yang menarik busur. Ini dapat diperhatikan dari busur tinggalan Rasulullah SAW.
Busur Rasulullah SAW
Tiada dalil ke atas dakwaan memanah secara sunnah memerlukan teknik lepasan ibu-jari (thumb release) iaitu melalui penggunaan cincin ibu-jari (thumb ring) dan menggunakan ibu jari untuk menarik tali busur. Untuk menyandarkan sesuatu kepada baginda Rasulullah SAW kita memerlukan dalil hadith atau atsar para sahabah RA. Pun begitu, tiada kedapatan juga dalil hadith atau atsar bahawa Rasulullah SAW atau para sahabah RA menggunakan teknik menarik dengan 3 jari secara Mediterranean. Maka dari pemerhatian dan deduksi, memanah secara sunnah boleh menggunakan teknik lepasan Monggol (Mongolian release) atau Mediterranean (Mediterranean release).
Gaya Mediterranean vs Gaya MonggolTeknik lepasan ibu-jari sebenarnya secara silap telah dinamakan sebagai teknik lepasan Monggol bersempena peristiwa bangsa yang berkenaan menakluk sebahagian dari Eropah dan meninggalkan pengaruh mereka ke atas kerajaan setempat. Kajian yang lebih mendalam menunjukkan teknik menarik dengan ibu-jari lebih awal telah dipelopori oleh pahlawan-pahlawan berkuda dari Kesultanan Turki-Seljuk di pergunungan Steppe dan seterusnya diwarisi oleh empayar Khilafah Islam Uthmaniyyah Turki.
Walaubagaimanapun, menarik tali busur dengan ibu-jari dan penggunaan cincin mempunyai kelebihan yang nyata di samping tidak menjejaskan teknik memanah secara naluri. Penggunaan ibu-jari dapat menambah antara 2-4 inci kepada panjang tarikan (draw length) berbanding penggunaan 3-jari dan seterusnya menambah kekuatan pada tujahan anak panah. Melepas anak panah dengan teknik Monggol juga adalah teknik lepasan yang lebih licin dan lancar berbanding teknik Mediterranean dan mampu mempengaruhi ketepatan panahan.

KEKUATAN PADA TUBUH BADAN PEMANAH

Dalam ilmu perubatan moden, anggota badan manusia dikenal-pasti mempunyai kapasiti untuk melakukan pengalihan fungsi otot dalam keadaan-keadaan tertentu. Otot-otot sekunder yang bersambung atau pada kedudukan selari dengan otot primer yang rosak atau gagal berfungsi akan mengambil-alih fungsi otot tersebut secara semula-jadi supaya dapat menghasilkan pergerakan anggota yang serupa atau hampir sama. Contoh yang paling jelas adalah pada pesakit-pesakit strok yang belajar semula untuk berjalan dengan menggunakan otot dan sendi pinggul.
Orang-orang dahulu-kala sebenarnya lebih maju pengetahuan mereka di dalam perkara ini dan boleh disaksikan dari tinggalan warisan seni silat, wushu dan lain-lain seni mempertahankan diri. Kebanyakan ilmu seni mempertahankan diri melatih dan membiasakan tubuh kepada pergerakan ‘berat’, iaitu memaksa penggunaan lebih banyak otot dalam pergerakan. Ini kerana otot adalah kekuatan. Lebih banyak penggunaan otot, lebih banyak kekuatan dapat dihasilkan.
Pada zaman khalifah Uthmaniyyah, kaum lelaki memanah dengan kekuatan tarikan 70 lbs ke atas, manakala kanak-kanak, orang tua dan mereka yang baru bermula memanah menggunakan busur di bawah 70 lbs. Maka bandingkanlah pula dengan kita di zaman ini, mengapakan orang-orang dahulu lebih kuat? Adakah mereka mempunyai susuk fizikal yang berbeza? Adakah disebabkan faktor pekerjaan? Atau mungkinkan kita menggunakan teknik yang salah dan menyebabkan banyak otot menjadi lesu kerana tidak pernah digunakan?
Berbanding teknik memanah moden, pemanah teknik tradisional menjungkitkan sedikit bahagian siku ke atas semasa menarik tali busur. Ini bertujuan untuk memberi lebih tumpuan kepada penggunaan otot bahagian bahu dan belakang badan, sebagai sokongan kepada biseps sebagai otot utama. Latihan dan ulangan pergerakan yang berterusan boleh memperbaiki dan meningkatkan fungsi otot-otot yang berkenaan untuk mencapai potensi kekuatan yang lebih tinggi.
pemanah-berkuda

MEMANAH SECARA SUNNAH part 1

Secara umum, teknik memanah terbahagi kepada 2 kategori sahaja, iaitu memanah secara naluri (instinctive) dan pandangan (sight). Busur ringkas moden, iaitu busur tunggal (single/one piece bow) dan busur berangkai (take-down bow) sebenarnya berada di bawah sub-kategori memanah naluri; iaitusepara-naluri (semi-instinctive) disebabkan busur berkenaan mempunyai penyangga anak panah (arrow rest). Berbanding pemanah busur ringkas moden dan tradisional, pemanah busur kompaun pula sangat bergantung kepada alat bantuan pandangan (sight & peep) untuk membidik titik sasaran.
Secara umum, kedua-dua teknik tersebut adalah sebahagian dari sunnah memanah. Tetapi secara khusus, ada perincian dan perbahasan dari sudut sains dan ibadah; seperti dapat dikiaskan pada perbezaan antara sunnah memanahvs. memanah secara sunnah.
Di dalam beribadah; “tidur orang alim adalah lebih baik daripada ibadat orang jahil”. Ini kerana kesempurnaan dalam beribadah adalah pada ilmu, kerana tanpa ilmu mustahil ada penghayatan pada amal ibadah. Walhal dengan ilmu, suatu pekerjaan biasa juga boleh menjadi satu ibadah. Ibadah hanya berlaku apabila seseorang boleh membuat perkaitan antara suatu perbuatan itu dengan rasa perhambaan kepada tuhan.
Artikel ini cuba mengupas apakah pengertian, kaedah atau teknik untuk memanah secara sunnah. Supaya seseorang itu dapat mencapai sepenuhnya nilai ibadah dalam memanah, dalam sebaik-sebaik mencontohi perilaku dan perbuatan baginda Rasulullah SAW, insan teragung yang dilahirkan kepada umat manusia dan seterusnya sebagai perakuan perhambaan diri kepada Pemilik sekalian alam semesta, Allah yang memiliki Arasy yang Agung.
Apakah sebenarnya definisi memanah secara sunnah?
Dari Uqbah bin Amir RA dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar:”
“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.”
– Sahih Muslim Hadith no. 1917
Untuk memberi definisi kepada memanah perlu diketahui apa yang dikehendaki pada memanah itu adalah kekuatan. Dalam memberi definisi kepada memanah secara sunnah, supaya ianya mencapai tahap ibadah, ada komponen zahir (perbuatan) dan juga batin (niat). Melalui komponen zahir dan batin ini lahirlah kekuatan luaran dan dalaman kepada pengamal seni panah sunnah.

KOMPONEN BATIN – KEKUATAN DALAMAN DARI KERANA NIAT

Bersabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya amalan itu tergantung niatnya, dan sesungguhnya setiap orang mendapatkan sesuai apa yang diniatkan, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya karena dunia yang akan memperolehinya atau wanita yang ingin dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”
– Hadith riwayat Bukhari Muslim
Dalam artikel-artikel  sebelumnya, kami ada menghuraikan tentang kepentingan memanah kepada kekuatan ummah dalam berjihad. Ini kerana pada situasi-situasi tertentu, adalah wajib ke atas setiap insan mukallaf membentuk unit terkecil ketenteraan di dalam jihad fi sabilillah. Tidak pengasingan antara yang tentera dan bukan tentera, atau antara polis dan orang awam sebagaimana yang berlaku pada dunia hari ini.
Walaupun jihad itu sendiri ada dua kategori, iaitu Fardhu Kifayah dan Fardhu Ain, namun pada peringkat persendirian, setiap orang WAJIB mempersiapkan dirinya dan tidak boleh mencari peluang melepaskan tanggung-jawab ke atas bahu orang lain.
Membuat persiapan untuk perang jihad itu adalah WAJIB, manakala pergi berperang itu boleh jadi Fardhu Kifayah atau Fardhu Ain.
Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad (perang) dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad (perang), ia mati dalam satu cabang kemunafikan.”
– Muttafaq Alaih
Berbalik kepada niat, maka adalah penting untuk masing-masing memastikan bahawa niat memanah adalah sebagai persiapan untuk jihad fi sabilillah dan tiada yang lain. Barang-siapa yang memanah kerana hobi, budaya, riadah dan sebagainya, maka setakat itu sahajalah ganjaran amalannya.
Kalau sudah benarlah niat seseorang itu, maka inilah yang akan menjadi pendorong, iaitu sumber yang akan memberi motivasi dan semangat juang yang berterusan kepada dirinya untuk bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam memperbaiki permainannya di dalam memanah. Dengan niat yang benar, dorongan yang terhasil seumpama arus sungai yang mengalir tanpa henti, menjadikan dirinya sentiasa berkobar-kobar dan bersemangat pada jalan kebenaran dan mencari-cari peluang untuk berada pada jalan perjuangan. Inilah kekuatan yang tiada galang-gantinya, yang membezakan seseorang itu dengan hamba Allah yang lain yang sedang asyik dengan hal-hal keduniaan.

JENIS JENIS BUSUR TRADISIONAL

Terdapat banyak rekabentuk busur tradisional yang diberi nama mengikut negara, bangsa dan puak tertentu; seperti Turki, Monggol, Han, Avar, Assyria, Parsi, Mesir, Tartar, Cina, Manchu, Rum, Hungary (Magyar), Skitia, India, Bashkir, Korea (Hwarang), Jepun (Yumi) dan sebagainya. Sukar untuk membuat penilaian ke atas busur-busur ini berdasarkan nama mereka sahaja melainkan dengan melihat kepada bahan-bahan dan kaedah pembuatan busur-busur itu sendiri.
assyrian archer mural
Semua busur tradisional yang dihasilkan pada hari ini, adalah satu bentuk interpretasi oleh tukang-tukang busur terhadap bentuk-bentuk busur zaman lampau, melalui bahan-bahan bertulis dan arkib sejarah, untuk menghasilkan semula busur-busur rekabentuk tertentu dengan bahan dan kaedah baru, atau lama, atau gabungan kedua-duanya. Misalnya, busur Monggol buatan Toth Zoltan berbeza kaedah pembuatan, bahan-bahan, kemasan dan rupa luarannya berbanding yang dibuat oleh Grozer Csaba, apatah lagi kalau dibandingkan dengan buatan tukang di Mongolia.
Dengan pembahagian kepada kategori-kategori berikut, perbezaan dapat dilihat dengan lebih ketara, dan seterusnya dapat dibuat penilaian lanjut tentang pro dan kontra sesuatu busur itu, dari segi kualiti pembuatan (bahan-bahan, ketahanan, kemasan), kualiti panahan (rasa tarikan; di permulaan dan tarikan maksimum (stacking)), prestasi (kelajuan anak panah, panjang tarikan maksimum), berat dan saiz, rupa-bentuk dan keaslian sesuatu busur yang terhasil.

BUSUR ASAS / SELF BOW


Busur Rasulullah SAW dari sebatang buluh
Binaannya hanya dari sekeping kayu atau buluh. Pembuatan melibatkan proses memotong, mengetam dan mengikis, di samping proses membentuk dan meluruskan secara rawatan haba/api. Biasanya bahan dipilih dari jenis kayu tumpat/teras (heartwood). Busur paling terkenal adalah busur Nabi Muhammad SAW yang tersimpan di Muzium Topkapi di Turki yang diperbuat dari buluh. Kerana memerlukan saiz yang panjang, maka ia tidak sesuai digunakan untuk memanah berkuda. Selain itu, ia juga adalah sejenis busur lurus, dan tidak termasuk ke dalam kategori busur refleks yang lebih canggih.

BUSUR PVC / PVC BOW

Secara rekabentuk busur ini adalah busur tradisional instinktif, walaupun bahan asasnya adalah sejenis plastik. PVC adalah sejenis termo-plastik resin, yang lembut apabila dipanaskan. Cara pembuatan adalah dengan mengambil paip PVC yang boleh dibeli di kedai-kedai logam dan dipanaskan menggunakan pistol haba (heat gun), seterusnya dibentuk kepada bentuk yang diingini apabila bahan telah menjadi lembut.
Busur ini biasanya dipasarkan sebagai busur murah untuk bermula memanah, walaubagaimanapun, ia mempunyai kekurangan yang sangat ketara, iaitu jangka-hayat yang terhad disebabkan kelemahan bahan PVC. PVC adalah reaktif kepada ulangan regangan dan tekanan semasa memanah. Secara progresif, ia melemahkan ikatan molekul PVC sehingga akhirnya menyebabkan retakan mikroskopik dan menghasilkan kepanasan pada titik paling regang. Ini dikenali sebagai ‘material fatigue’ di dalam ilmu sains bahan dan akan menyebabkan busur mudah patah.

BUSUR LOGAM / METAL BOW


Busur Besi Mughal
Sejarah busur logam adalah sangat pendek, ianya bermula apabila teknologi pembuatan busur refleks bio-komposit tradisional telah mencapai kemuncaknya dan sehingga datangnya era senjata api. Hari ini, boleh dikatakan tiada tukang busur yang masih membuat busur logam dan ianya adalah ilmu yang telah pupus. Karakteristik unik busur jenis ini adalah ia mempunyai profil yang hampir sama sebelum dan selepas tali busur dipasang, kerana sifat daya lentur bahan logam yang tinggi. Bahan asas busur logam adalah besi, tembaga atau campuran aloi.
Busur jenis ini muncul di sekitar rantau Indo-Parsi dan jarang-jarang ditemui. Disebabkan ia diperbuat dari bahan logam, busur yang asal masih terpelihara dalam keadaan baik dan mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran barangan antik.

BUSUR RESIN GENTIAN-KACA / RESIN FIBERGLASS BOW

Untuk busur jenis ini, tukang-tukang busur menggunakan E-fiberglass yang dibentuk di dalam acuan dan resin sintetik sebagai gam, untuk menghasilkan keseluruhan badan busur (bahagian pemegang, lengan atas dan bawah) secara tunggal. Subjektif kepada rekabentuk, ia kemudiannya disambung dengan siyah dari kayu pada kedua-dua hujung. Bahagian yang diperbuat dari gentian-kaca kemudiannya ditutupi dengan lapisan kulit dan dihias. Kerana pembuatannya lebih mudah, kebiasaannya, busur dari jenis ini dijual dengan harga yang paling murah berbanding lain-lain jenis busur tradisional komersil. Busur jenis ini agak lasak dan mempunyai prestasi panahan yang baik.
Busur resin fiberglass Toth Monggol dan Grozer Rum
Busur resin fiberglass Toth Monggol dan Grozer Rum
Walaupun begitu sesetengah tukang busur seperti Grozer membuat busur resin gentian-kaca dengan tarikan yang agak ketat, menjadikannya kurang sesuai untuk yang baru bermula memanah. Busur jenis ini kebiasaannya mempunyai panjang tarikan maksimum sehingga 29 inci atau kurang sahaja. Lengan-lengan busur kompaun yang berprestasi tinggi adalah diperbuat menggunakan kaedah ini, jadi ia tidak boleh dikatakan sebagai teknik pembuatan yang tidak bermutu. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Toth Zoltan, busur Toth Istvan, busur Tamas Kovacs dan juga busur asas Grozer (basebow).

BUSUR KAYU BERLAPIS / WOODEN LAMINATED BOW

Kebanyakan busur tradisional dengan kualiti yang lebih baik adalah terdiri dari jenis ini. Bahan asas adalah lapisan-lapisan kayu sebagai teras utama yang digamkan di bawah tekanan berselang-seli dengan bahan gentian-kaca. Jenis kemasan selalunya mengikut jenis kayu pada lapisan paling luar; seperti Ash, Zebrano, Mahogany, Yew, Black Poplar, Indian Cherry dan sebagainya, manakala teras utama hanya dari jenis kayu tertentu sahaja. Selain kemasan kayu semula-jadi, ada juga kemasan cat atau disudahi dengan elemen dekoratif dan motif tradisional. Di samping itu, ia dilengkapi dengan aksesori tambahan pada busur menggunakan bahan dari kulit dan tanduk binatang.
Busur kayu berlapis Oszkar Magyar dengan plat tanduk pada siyah
Busur kayu berlapis Oszkar Magyar dengan plat tanduk pada siyah
Busur kayu berlapis dikenali kerana mempunyai tarikan lembut dan lancar. Walaupun berada di tangga kedua pada hirarki harga, ia sebenarnya sangat disarankan untuk bermula dalam memanah. Terdapat busur jenis ini, seperti busur Oszkar dari Hungary yang dijual lebih murah berbanding busur resin gentian-kaca. Busur kayu berlapis boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 30-33 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk.
Ratio campuran dan jenis bahan gentian-kaca dan resin sintetik yang digunakan adalah rahsia utama tukang-tukang busur yang dijaga rapi kerana ia mempengaruhi kelembutan tarikan busur. Disebabkan faktor ini, busur Saluki mendapat perhatian ramai dan dijual dengan harga yang sangat tinggi. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Oszkar, Kassai, Grozer, Szaloki, Saluki, Vegh, Akos, Tarvei dan lain-lain.
Busur Kaya dari Korea berada di dalam kategori yang sedikit terasing dan boleh diletakkan di dalam kategori hibrid moden kerana meletakkan bahan karbon di lapisan dalaman, iaitu pada perut busur. Ia juga satu-satunya jenis busur yang menggunakan bahan fabrik sebagai kemasan luar. Busur tradisional barat; seperti busur Panjang (Long bow) dan busur tradisional Amerika (American traditional bow) juga adalah dari busur jenis kayu berlapis ini.

BUSUR TANDUK BIO-KOMPOSIT / BIO-COMPOSITE HORN BOW

Busur jenis ini adalah lebih mahal dan baik dari jenis sebelumnya, dengan karakteristik tarikan yanng sangat lembut dan lancar. Ia pada asasnya adalah juga sejenis busur kayu berlapis. Ia terdiri dari bahan kayu sebagai teras utama (middle core layer), sinew termampat (tendon binatang) pada lapisan luar (outer layer) dan tanduk termampat pada lapisan dalaman (inner layer) iaitu bahagian perut busur. Lapisan tanduk ini adalah sama ada dari tanduk kerbau air, biri-biri liar (Bighorn), kambing gunung (Ibex) dan juga lembu Kelabu Hungary (Steppe cattle).
Sinew-Wood-Horn composite bow
Diagram binaan sinew-kayu-tanduk pada busur tradisional Turki
Kesemua lapisan ini dilekatkan di bawah tekanan, menggunakan gam epoxy atau resin sintetik yang diperkuat dengan gentian-kaca yang fleksibel.
Kemasan akhir boleh jadi lapisan sinew di luar lengan dan tanduk di perut busur sahaja, atau ditutupi dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) dengan atau tanpa diberikan dekorasi motif tradisional. Lain- lain komponen busur pada bahagian pemegang dan siyah adalah diperbuat dari tanduk, kayu, kulit dan tulang. Kadang-kadang lapisan sinew digantikan dengan lain-lain bahan sintetik moden, menjadikannya di bawah jenis sub-kategori busur tanduk komposit sintetik.

Busur tanduk buatan Grozer – perhatikan lapisan plat tanduk pada bahagian lapisan dalaman / perut busur
Kerana penggunaan tanduk pada lapisan dalaman, busur jenis ini juga dipanggil busur tanduk (horn bow). Sesetengah busur kayu berlapis biasa ada meletakkan lapisan hiasan/pelindung dari tanduk pada bahagian siyah, ini tidak menjadikannya sejenis busur tanduk.
Busur tanduk bio-komposit boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 31-35 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur buatan Kassai, Grozer dan Saluki, di samping tukang-tukang tradisional yang lain.

BUSUR TANDUK REPLIKA SEJARAH /HISTORICAL REPLICA HORN BOW

Busur ini adalah busur tanduk bio-komposit yang menggunakan 100% bahan pembuatan klasik semula-jadi. Bahan-bahan utama adalah kayu, sinew dan tanduk. Kemasan selalunya adalah dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) yang dihiaskan dengan elemen dekoratif tradisional mengikut tema rekabentuk busur, sementara lain-lain komponen busur diperbuat daripada tanduk, kayu dan tulang.
Lapisan-lapisan kayu, sinew dan plat tanduk dilekatkan dengan kaedah lama melalui pulasan tali menggunakan gam yang hanya boleh direbus atau diekstrak dari perut ikan sturgeon, yang kini diklasifikasikan sebagai hidupan yang terancam. Tukang-tukang yang mahir dengan kaedah lama ini amat sedikit, sekaligus membataskan pengeluaran busur ini. Kalau di Korea dan di Jepun, tukang-tukang lama ini diberikan status “National Living Treasure” untuk mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan mereka di dalam seni pembuatan busur. Busur tanduk replika sejarah menggunakan bahan pembuatan klasik semula-jadi ditambah kaedah pembuatan yang asli.
Kerumitan hiasan motif Islamik dan tradisional pada busur tanduk Turki
Kerumitan hiasan motif Islamik dan tradisional pada busur tanduk Turki
Teknik pembuatan adalah menggunakan kaedah atau olahan kaedah dari abad dahulu-kala berdasarkan kajian kepada sejarah dan rekod penulisan lampau. Disebabkan itu, proses pembuatan busur ini boleh mengambil masa yang panjang (antara 10-12 bulan) dan menjadi mahal.
Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Grozer dan Saluki, di samping busur buatan tukang-tukang tradisional Turki, China, Mongolia, Korea dan lain-lain.
pemanah-berkuda

MEMANAH DAN UNDANG UNDANG

Anda berminat untuk memanah, lebih-lebih lagi untuk memanah secara sunnah, malahan anda berminat untuk menjadi golongan ghuraba yang tekad untuk membebaskan diri dari segala bentuk perhambaan, kecuali perhambaan secara mutlak kepada Sang Pemilik Alam Semesta.
Tapi anda bimbang anda akan disalah-erti. Anda bimbang masyarakat awam akan curiga melihat anda, sebagai golongan yang berpotensi mencetuskan kekacauan kepada keamanan dan keharmonian.
Malaysia Laws relating to archery
Jika anda mempunyai keraguan untuk memiliki busur dan anak panah atau mengenai aktiviti memanah disebabkan faktor undang-undang, berikut adalah fakta penting yang anda perlu tahu.
Memanah digazetkan sebagai satu bidang sukan di Malaysia dan tertakluk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Laws of Malaysia – Sports Development Act 1997).
Busur dan anak panah diklasifikasikan sebagai peralatan sukan dan tidak memerlukan apa-apa permit atau lesen dari pihak berkuasa; untuk memiliki atau menggunakannya. Tidak ada pengkelasan khusus dari sudut ini yang membezakan antara busur tradisional, busur kompaun atau busur moden untuk pertandingan di sukan olimpik.
Namun begitu ada beberapa keadaan tertentu yang boleh menyebabkan anda ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa yang berkenaan bersabit dengan panah dan busur.
1. Pelbagai kesalahan memburu dengan busur dan panah bersabit spesies hidupan liar yang diperlindungi.
RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010 (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan).
Sehingga tarikh ini, busur dan panah adalah BUKAN senjata berburu yang sah di Malaysia.
2. Kesalahan yang boleh disabitkan mengikut Akta 357 Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Ofensif 1958.
Seksyen 6(1) Akta 357 memperuntukkan, mana-mana orang yang membawa atau memiliki di mana-mana jalan atau tempat awam apa apa senjata ofensif kecuali dengan kebenaran yang sah bagi maksud yang sah, adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan juga sebatan.
Kesalahan ini merujuk kepada semua jenis senjata berjadual* di dalam akta yang sama, tetapi terguna-pakai untuk segala jenis ancaman senjata lain secara UMUM dengan kehadiran 3 faktor berikut;
  1. Wujudnya ‘senjata ofensif’ iaitu apa-apa peralatan yang sekiranya digunakan untuk menyerang boleh mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan.
  2. Berada di dalam tempat awam.
  3. Bermaksud mendatangkan kecederaan.
* Takrifan ‘senjata berjadual‘ bermaksud sebarang senjata ofensif yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua Akta 357 (rujuk di bawah).
FAKTA 1 – Membawa busur dan panah sahaja tidak dianggap sebagai membawa senjata ofensif di tempat awam. Sentiasa pastikan anda tidak menjadi ancaman kepada orang lain.
FAKTA 2 – Di sebaliknya pula, membawa apa-apa senjata ofensif berjadual (walaupun tersembunyi) telah dianggap sebagai membawa senjata ofensif berbahaya di tempat awam.
Senarai Senjata Ofensif Berjadual.
AKTA 357: AKTA BAHAN-BAHAN KAKISAN DAN LETUPAN DAN SENJATA BERBAHAYA 1958.
JADUAL KEDUA (Seksyen 2 dan 12).
  1. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali sebagai ‘flick knife’, yang mengeluarkan bilah secara automatik dengan menekan butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
  2. Segala jenis pisau, kadang-kala dikenali sebagai ‘gravity knife’, yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung melalui tekanan graviti atau kuasa pusat putaran, yang mana bila dilepaskan, akan terkunci pada tempatnya dengan sesuatu butang, spring, tuas dan sebagainya.
  3. Alat sebatan/libasan (whip) diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
  4. Semua jenis buku lima (knuckleduster).
  5. Semua jenis bilah atau alatan lain yang dilekatkan ke atas, atau membentuk sebahagian pam basikal, paip besi atau pemegang yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam.
  6. Sebarang peralatan seperti pisau dengan tiga mata yang tajam dan hujung yang runcing, kadang-kadang dipanggil sebagai ‘bearing-scraper’.
  7. Senjata berbentuk kapak kecil.
  8. Sebarang pedang, keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran yang berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
  9. Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau taman bercucuk tanam.
  10. Lembing dan mata lembing.
  11. Panah-silang (crossbow).
  12. Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau peralatan seumpamanya, yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber tenaga.
Senjata berjadual hanya tidak menjadi kesalahan ketika berada di premis persendirian. TIADA permit dikeluarkan atau diperlukan untuk menyimpan senjata berjadual, tapi pastikan anda mempunyai sebab yang kukuh.
Kesalahan berkaitan senjata berjadual
Seksyen 7(1) Akta 357 memperuntukkan, sesiapa yang, melainkan bagi tujuan yang tidak menyalahi undang-undang –
(a) membawa atau memiliki di bawah kawalannya;
(b) membuat, menjual atau menyewakan atau menawarkan untuk menjual atau menyewakan; atau
(c) meminjamkan atau memberikan kepada mana-mana individu;
mana-mana senjata berjadual adalah menjadi kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun, atau denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Undang-undang sedia-ada sebenarnya bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Jika anda memanah dengan sebab yang benar, tidak ada sebab untuk berasa gusar. Namun begitu, sentiasalah berwaspada dengan mengambil langkah keselamatan yang perlu semasa memanah kerana busur dan panah adalah senjata yang boleh membunuh dan juga mengakibatkan kecederaan yang serius.
pemanah-berkuda